CORAT CORET HAJI 4
SAYA mendaftar tahun 2008 dan tahun jangkaan adalah pada tahun 2020. Memang yakin sangatlah pergi haji pada tahun itu. Tidak buat apa-apa persediaan pun. Tanpa tak disangka-sangka saya menerima surat pada 31 Januari 2019. Surat bertarikh 18 januari tu saya baca berulangkali, betulkah saya dijemput menjadi tetamu VVVIP ini? ALHAMDULILLAH.
Sebenarnya, sebelum itu dari 26 Januari sehingga 28 Januari saya sekeluarga pergi bercuti di Hatyai. Satu peristiwa melucukan di mana kasut sarung jenama Crocodile yang dipakai tercabut tapak kasutnya. Betul-betul tertanggal ketika berjalan kaki menuju ke van yang menunggu di sempadan Malaysia- Thailand.
Sememangnya ketika di rumah saya ada berniat hendak membeli kasut lain ketika sampai di Hatyai kelak. Ini adalah kerana kasut hitam yang mempunyai ketinggian 2 inci itu tidak sesuai untuk dipakai jika banyak berjalan. Masuk sahaja sempadan, kasut sudah pun merajuk. Bukannya sebelah, kedua-dua belah tapak kasut tercabut! Entah kenapa ketika itu terlintas di fikiran. “Kalau kat Mekah ni, apa sahaja yang terniat pasti terjadi.” Itulah sering saya dengar dari mereka yang pernah menjejakkan kaki di bumi barakah tersebut. Dan, kenapa saya teringatkan Mekah ya pada ketika itu?
Okaylah berbalik kepada cerita Mekah tadi. Surat dah sampai, dan saya perlu menyediakan segala dokumen dan sejumlah wang dalam masa 17 hari. Kelam kabut betul kan. Apa yang kelam kabut? Bacalah buku saya tu, hehehe.
Bersama-sama surat tawaran ada disertakan jadual kursus haji dan masjid yang mengendalikan kursus tersebut. Bila dilihat semula, kursus Haji tersebut telah pun bermula seawal 24 November 2018. Kursus tersebut mengambil masa selama 17 minggu. Bila saya rujuk kalendar, rupa-rupanya saya sudah ketinggalan kursus haji ini selama 10 minggu. Hanya berbaki 7 minggu sahaja.
Masa itu mulalah rasa mengelabah, faham ke nanti nak buat Haji ni?
Bagi cawangan Banting terdapat dua masjid yang dipilih bagi mengendalikan kursus haji ini. Satu masjid ini di kawasan kampung saya, iaitu Masjid Jamiul Ehsani di mana kursus diadakan pada setiap hari Sabtu. Sebuah lagi masjid pula ialah Masjid At Taqwa Pekan, berdekatan bandar Banting. Yang ini kursus diadakan pada hari Ahad. Kursus bermula pukul 9 pagi sehingga 11 pagi.
Boleh sahaja untuk memilih mana-mana masjid untuk pergi berkursus. Tetapi, lagi bagus jika fokus pada satu masjid sahaja. Dan, pada 2 Februari, bersemangatlah saya dan suami untuk pergi berkursus. Bawa juga anak-anak, sebab tiada siapa boleh jaga mereka.
Sampai sahaja di masjid, pelik. Tiada langsung kereta, sunyi sepi. Hairan!
Belek lagi surat tawaran dan jadual kursus. Hari dah betul, masa dah betul. Suami turun dari kereta dan bertanyakan pada seorang pakcik yang kebetulan ada di situ.
Hahaha, rupa-rupanya kami tersalah masjid. Kami pergi ke Masjid Jamiatul Islamiah yang berada di tepi jalan besar. Selama ini kami tak perasan pun nama masjid ini, yang kami panggil masjid batu 9, huhuhu.





